|
 LALUAN
PLLD terletak 81 km dari Lahad Datu, sebuah bandar di Pantai
Timur Sabah. Perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam dan
perjalanan 15 km yang pertama adalah melalui jalan utama
berturap yang menghubungkan Lahad Datu dan Tawau, perjalanan
66 km selebihnya adalah jalan balak persendirian yang tidak
berturap tetapi sentiasa dijaga. Awas, pandu dengan cermat dan
perlahan kerana lori balak muatan 70 tan menggunakan jalan ini.
Bandar yang terdekat dengan pusat ini ialah Lahad Datu,
terletak di Pantai Timur Selatan Sabah, yang mendapat
perkhidmatan penerbangan harian oleh Penerbangan Malaysia.
KEBENARAN MASUK
Semua pelawat mesti mendapatkan kebenaran masuk dari pejabat
jualan PLLD di Lahad Datu. Jika anda menggunakan kenderaan
sendiri, anda dikehendaki mengambil surat kebenaran dari
pejabat di Lahad Datu. Surat kebenaran ini perlu ditunjukkan
di pintu kawalan kilometer 5.5 jalan balak YS-Main Line West.
Ikut jalan tersebut sehingga 56.5 km di mana satu papan tanda
menghala ke kiri menunjukkan bahawa PLLD cuma berada 10 km
lagi ke hadapan.
Sila ambil perhatian bahawa senjata api dan memburu dilarang
di Kawasan Konservasi Lembah Danum atau Kawasan Konsesi
Yayasan Sabah.
Setibanya di Pusat tersebut, semua pelawat di kehendaki
mendaftar di Pejabat Penerimaan Tetamu.
|